Search ImagingPixel for Images by Camera or Lens

Fotografi Filem, 3 Pilihan Kamera Kompak 35mm Pemula

Pilihan Kamera Kompak 35mm Pemula
Pilihan tiga kamera filem 35mm kompak dan mudah guna untuk pemula.

Minat kepada fotografi filem, setelah beberapa lama tanpa perhatian, kini nampaknya mekar kembali dengan pengenalan semula filem kegunaan kamera yang dahulu diberhentikan pengeluarannya, usaha ke arah rekabentuk kamera filem alaf baru, sokongan berterusan jurufoto 'era lama', juga dengan minat pengguna baru yang kian bertambah.

Kepada yang ingin bermula, kamera filem senang didapati dari laman-laman lelong atau penjual atas talian dengan harga yang jauh lebih rendah daripada kos kamera digital. Filem untuk kamera dan makmal memperoses filem terdapat di sana sini. Kategori dan jenama kamera filem yang luas, berbeza, membolehkan fotografi filem wujud dalam hampir kesemua genre fotografi.

Selain mempunyai kamera filem, penglibatan dengan fotografi filem memerlukan kos tambahan membeli dan memproses filem, masa lengah sementara menunggu filem diproses dan diimabas ke dalam bentuk digital, sebelum dipasca proses seperti imej-imej lain.


Sewajar Mampu

Apakah kamera filem yang termahal itu terbaik? Tidak. Kamera terbaik ialah yang wajar mengikut kemampuan, tanpa tambahan, atau lebihan kos yang membazir. Lapor guna, ulasan peralatan dan pilihan jenis dan jenama filem, dan kamera yang dinilai tinggi dan disokong pemilihan senang dicapai dalam carian laman sesawang.

Apakah peringkat kemahiran anda? Genre fotografi yang anda minati? Kamera pemula, pertengahan, atau pakar? Mungkinkah anda akan berterusan dalam kreatif ini untuk beberpa ketika? Apakah perancangan peningkatan kemahiran dan peralatan yang sedang difikirkan? Mungkinkah jawapan kepada soalan-soalan ini 'kesederhanaan' dan 'sewajar mampu'?


Kamera Kompak Pilihan Pemula

Bagi pengguna baru yang ingin bermula dengan fotografi filem, cadangan pilihan kamera pemula ialah jenis 'viewfinder' dengan kanta fokus tetap atau jenis 'rangefinder' dengan kanta fokus jarak yang kecil dan kompak. Kamera seperti ini mempunyai beberapa ciri yang baik untuk pertimbangan, termasuk:

  • Kos permulaan yang rendah,
  • Kecil, molek, selesa dibawa ke mana-mana,
  • Memberi kemudahan awal pengelaman fotografi dengan kamera filem, 
  • Mampu dijadikan kamera ke dua apabila meningkat kepada pilihan yang lebih canggih.

Pilihan yang sesuai sebagai kamera pemula adalah termasuk:


Olympus XA1

Olympus XA1

Satu daripada kamera kecil 'point-and'shoot' dengan kanta fokus tetap yang sesuai digunakan sebagai kamera pemula ialah Olympus XA1.

Kamera kecil molek ini, lengkap dalam bentuknya yang tersendiri, mempunyai penutup gelongsor yang dibuka untuk menggunakan kamera dan ditutup kembali apabila kamera disimpan.

Kamera berbentuk kapsul ini selesa dibawa ke mana-mana, dalam saku atau atau beg bimbit, sesuai digunakan untuk aktiviti berkumpulan, percutian, riadah dan rekreasi, atau fotografi jalanan. Kamera ini dibina dari bahan-bahan logam dan plastik dengan daya tahan lasak sederhana.

    OLYMPUS XA1 REVIEW AND SAMPLES

    OLYMPUS XA1 REVIEW AND SAMPLES Video by Damian Brown Photography travel photography geeky olympus olympus xa1 review rangefinder rangefinder camera collectio...

Terbitan dari siri Kamera Kapsul Olympus, kamera ini dilengkapkan dengan kanta fokus tetap D.Zuiko 35mm 1:4 dengan jarak lihatan tajam 1.5 meter hingga infiniti. Kamera ini hanya boleh dimuatkan dengan filem kelajuan ISO 100 atu ISO 400 sahaja, dan operasinya tidak memerlukan sumber kuasa atau bateri.

Bergantung kepada keadaan cahaya dan persekitaran, kamera ini mengambil gambar secara pendedahan otomatik dengan gabungan pembukaan apertur dan kelajuan shutter dari f/4 pada 1/30 saat hingga f/22 pada 1/250 saat. Kamera ini boleh digunakan dengan unit denyar khas yang sesuai untuk kamera siri XA sahaja.

Olympus XA1

Dalam keadaan pendedahan yang memerlukan pembukaan aperture yang lebih luas daripda f/4 dan kelajuan shutter lebih rendah daripada 1/30 saat, kamera ini akan menahan gambar di ambil dengan paparan pop-up bendera merah yang dipamer pada pemidang tilik kamera.

Pilihan Kamera Kompak 35mm Pemula: Olympus XA1

Walaupun tidak secanggih model-model lain dari siri kamera kapsul XA yang sama, tidak juga mempunyai peminat yang ramai, kos yang rendah, kualiti imej tangkapan kanta Zuiko yang memang sedia terkenal, dan cara menggunanya yang begitu senang, adalah pertimbangan utama mendapatkan kamera ini sebagai kamera pemula.


Olympus Pen EF

Olympus Pen EF

Firma Olympus juga terkenal dengan siri kamera 'half-frame' pada satu ketika dulu, iaitu jenis kamera yang dilengkapkan dengan bingkai filem berukuran tegap 18 x 24mm, separuh daripada saiz ukuran bingkai filem biasa yang berukuran lintang 24 x 36mm.

Bilangan imej yang boleh diambil dengan gelung filem 24-dedahan ialah 48, sementara gelung filem 36-dedahan mambenarkan 72 imej.

Salah satu daripada kamera 'half-frame' ini ialah Olympus Pen EF, model terakhir siri. Kamera ini dipasarkan dengan kemasan serba hitam dengan kanta fokus tetap D.Zuiko 35mm 1:3.5. Imej diambil secara dedahan otomatik dalam gabungan pembukaan aperture dan kelajuan shutter dari f/3.5 pada 1/30 saat hingga f/22 pada 1/250 saat.

    Oly35mm Review - Pen EF

    In 1981 we saw the last of the Olympus half frame cameras, the Pen EF. It was hardly a grand farewell, but was a nice little simple snapper that harked back ...

Kamera ini boleh dimuatkan dengan filem kelajuan ISO dari 25 hingga 400. Sama seperti kamera Olympus XA1, kamera ini juga tidak memerlukan bateri untuk beroperasi, ia dikuasi oleh sistem litar elektronik sel selenium yang sedia terbina. Sebagai tambahan, kamera ini juga dilengkapkan juga dengan unit denyar integrasi.

Berbeza dengan jenis kamera filem 35mm yang mengambil gambar dalam nisbah lintang 3:2, atau format landskap, imej 'half-frame' wujud lazimnya dalam bentuk nisbah tegap 3:4, atau format portret, dengan ukuran lintang 3 unit berbanding dengan ukuran tegap 4 unit.

Pilihan Kamera Kompak 35mm Pemula: Olympus Pen EF

Imej-imej terbitan format portret mempunyai ciri dan daya tarikan sendiri, yang memerlukan prinsip mengambil yang berbeza sedikit daripada biasa. Mmungkinkah format ini dapat dijadikan pendekatan arah kreatif baru bagi anda?


Konica C35 Automatic

Konica C35 Automatic

Cadangan kamera filem yang paling sesuai, bukan sahaja untuk pemula, tetapi juga kepada peminat-peminat kamera filem kecil dan kompak, ialah jenis 'rangefinder' Konica C35 Automatic, siri keluaran Konica.

Siri ini termasuk model C35, C35V (atau C35E&L di Jepun), C35 Automatic (atau C35 Flashmatic di Jepun), dan Auto S3.

Kamera kecil ini, serta jenama lain yang setimpal denganya, adalah kamera pilihan ramai pada tahun 70an, kerana bentuk yang kompak, ringan, dan senang digunakan.

Model C35 Automatic ini dilengkapkan dengan kanta Konica Hexanon jarak fokal 38mm f/2.8, dengan jarak fokus 1 meter hingga infiniti. Jenama kanta ini sedia terkenal dengan kualiti imej yang sangat baik, digunakan juga untuk pengeluaran kanta-kanta kamera SLR dari Konica. Kamera ini boleh di dapati dengan kemasan krom atau warna hitam keseluruhan.

Pilihan Kamera Kompak 35mm Pemula: Konica C35 Automatic

Kamera ini menggunakan sistem fokus 'rangefinder' dengan tetigkap kecil imbasan selari yang dipasang dalam bingkai pemidang tilik. Imej diambil dalam gabungan pembukaan otomatik aperture dan kelajuan shutter dari f/2.8 pada 1/30 saat hingga f/14 pada 1/650 saat. Kamera ini juga dilengkapkan dengan kemudahan pemasa kendiri dengan masa lengah 10 saat.

Pilihan Kamera Kompak 35mm Pemula: Konica C35 Automatic

Kamera ini boleh dimuatkan dengan filem kelajuan ISO dari 25 hingga 400. Bateri lazim operasi ialah sel batteri raksa PX625 1.35V. Bateri ini, walau bagaimanapun, telah lama diharam pengunaannya. Sel silver oxide SR44 atau sel alkali LR44 1.5V, dengan perubahan kepada penentuan kelajuan ISO filem kepada satu tingkat lebih rendah, boleh digunakan sebagai ganti.


Akhir Kata

Imej-imej fotografi filem mempunyai ciri-ciri unik dan sejati dengan rupawan yang berbeza dari imej-imej fotgrafi digital. Keunikan ini lazimnya bergantung kepada jenis dan jenama filem, kemampuan beza jelas dan tepuan warna kanta, tidak pada jenama badan kamera. Minat kepada genre ini kian bertambah dan dipercayai akan menjadi lebih maju dalam masa terdekat ini.

Jom Kita Bersama!



Vintage Camera Marketplace by ImagingPixel

Malaysia's Online Marketplace for Vintage Film and Digital Cameras, Lenses,
and Camera Accessories.
Follow ImagingPixel on Facebook, Pinterest, and X.

No comments:

Post a Comment

Popular on ImagingPixel